THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, 30 April 2011

Kaedah Belajar

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramai yang masih tidak mengetahui cara untuk belajar dan ini akan menjadi satu masalah kepada mereka untuk menduduki peperiksaan kelak. Di sini ana ingin titipkan sedikit cara belajar yang pernah ana amalkan.

Masa

Sebelum memulakan suatu sesi pembelajaran, pemilihan waktu yang tepat adalah penting untuk memastikan minda kita mampu menerimanya dengan keadaan yang optimum.

Contohnya, kebanyakan pelajar suka mengulang kaji pelajaran mereka pada tengah malam atau seawal pagi kerana pada masa ini keadaan sunyi dan minda kita akan dapat fokus pada apa yang kita belajar. Lebih-lebih lagi mata pelajaran yang melibatkan pengiraan seperti matematik.


Tempat Belajar

Perkara ini haruslah diambil berat kerana apabila keadaan tempat belajar kita kemas dan teratur sudah tentu kita dapat belajar sesuatu perkara itu dengan baik.

Seeloknya tempat yang baik untuk kita belajar ialah di perpustakaan kerana suasana yang sangat kondusif. Ini akan memudahkan proses pembelajaran kita.

Andai di rumah, pastikan tempat tersebut mampu merangsang minat kita untuk mentelaah tanpa terdapat gangguan luar seperti suasana yang bising,kerana suasana yang bising boleh merencatkan proses pembelajaran. Pastikan meja belajar menghadap ke arah kiblat.
 Nota

Setiap kali kita mengulang kaji pelajaran, sebaiknya jangan hanya membaca buku sahaja tetapi adalah lebih baik kita membuat nota ringkas. Ia membantu kita untuk mengingat.

Di samping itu juga, kita boleh membawa nota tersebut ke mana sahaja dan boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja.

Nota yang baik bukan hanya nota yang ringkas, tapi nota tersebut hendaklah mudah untuk difahami.

Salah satu cara terbaik untuk membuat nota adalah dengan menggunakan peta minda (mind map). Cara ini adalah salah satu cara yang sangat berkesan khususnya bagi subjek yang memerlukan pembacaan yang banyak.

Adab Menuntut Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...



Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:

"Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" (Mansuah al Adab al Islamiah : 15)

Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.

Dalil menuntut ilmu

Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." (At Taubah 9 : 122)

Dan dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W ada menyebut bahawa sekiranya Allah S.W.T ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SW..T akan memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T baginya akan kebaikan, nescaya Allah S.W.T akan memberinya kefahaman dalam agama" (HR Bukhari dan Muslim)

Adab Menuntut Ilmu

Niat yang Ikhlas

Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah S.W.T. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah S.W.T ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah S.W.T, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." (HR Tarmizi)

Niat itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan dinilai oleh Allah S.W.T berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana Allah S.W.T, kerana sesungguhnya Allah S.W.T tahu apa yang terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.

Beradab dengan orang yang memberi ilmu


Imam Syafie pernah berkata:

"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" (Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31)

Pada pendapat ana dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.

Bersabar dalam menuntut Ilmu 



Imam Syafie pernah berkata:

"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." (Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237)

Tulis setiap yang dipelajari


Sahabat Rasulullah S.A.W sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu Hurairah berkata: 

"Tidak ada seorang pun daripada sahabat Rasulullah S.A.W yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" (HR Ahmad dan Baihaqi)

Rendah diri

Imam Ahmad bin Hambal berkata:

"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." (Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274)

Menjauhi dari kenyang yang berlebihan


Ibn Jama'ah berkata:

"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." (Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222)

Tidur yang sedikit

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." (Az Zariyat 51 : 15 – 18)

Kurangkan berkata-kata yang tidak bermanfaat

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." (HR Bukhari dan Muslim)

Penutup

Tiada adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah S.A.W dan adab mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya (tabi'in) kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).

Ana menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu 'fanatik' sehinggakan memperbetulkan apa yang salah dari mereka yang kita hormati. Manakah yang kalian lebih cintai sama ada pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan ilmu.

Hanya ilmu yang layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang terbina dan terbimbing. 
 Berpeganglah erat-erat dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham." (HR Abu Daud, at Tarmidzi dan lain-lain)

Tinta ana hanyalah dari ilmu yang sedikit namun kerana kesedaran betapa pentingnya adab dalam menuntut ilmu maka ana kongsikan apa yang terbaik dari ilmu yang sedikit ini. Ana memohon dari para 'alim dari segala ilmu untuk menegur jika terdapat salah dan silap dari apa yang ana kongsikan ini. Sungguh tiada yang lebih benar melainkan dari al Quran dan as Sunnah Rasulullah S.A.W.





Pelajar Cemerlang

Bismillahirrahmanirrahim...


Pelajar cemerlang,pelajar cemerlang perlu ada strategi pembelajaran yang betul.Strategi kejayaan yang telah Allah S.W.T titipkan di permulaan Surah Al-Mu'minun,ayat 23 di dalam Al-Quran.

* Keyakinan dan kepercayaan kepada Allah S.W.T

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman" (23:1)

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah S.W.T dalam ayat yang di atas.Maka imanlah faktor utama kejayaan,dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan di bawah.

*Fokus,bersungguh-sungguh,sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." (23:2)

Lakukan satu-persatu perkara dalam satu-persatu masa. Jangan berangan dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan dengan sambil lewa.

 *Prioriti,mengutamakan apa yang utama.

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." (23:3)

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah S.W.T.

*Prihatin sesama kita

"dan orang-orang yang menunaikan zakat." (23:4)

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain.Pepatah Inggeris ada mengatakan Sharing is caring.

*Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan


"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari di balik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." (23:5,6,7)

 Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan study berdua-duaan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan jew mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah S.W.T kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

*Jujur dan Amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."(23:8)
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah S.W.T untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga/pengawas peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

*Tepati Waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." (23:9)

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah S.W.T dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." (23:10,11)

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."(2:200)

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." (2:201)

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." (2:202)

Friday, 29 April 2011

Cinta kerana Allah

Bismillahirrahmanirrahim....

Definisi cinta kerana Allah adalah mencintai hamba Allah kerana keimanannya dan ketaatan kepada Allah S.W.T.

 «إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ: يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلاَلِ الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّي؟

'Sesungguhnya kelak pada hari kiamat Allah akan berfirman, " Di mana orang yang saling mencintai kerana keagunganKu ?, Pada hari ini aku akan memberikan naungan kepadanya dalam naunganKu di saat tidak ada naungan kecuali naunganKu.


Diriwayatkan hadis dari Abu Hurairah,Rasulullah S.A.W bersabda :

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لاَ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَ لاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ، أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ»
 

Demi Allah, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu, yang mana  jika kalian melakukannya nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian! (HR. Muslim).

Dalil yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah sabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai”. Hadis ini menunjukkan tentang besarnya pahala saling mencintai kerana Allah.

Hadis dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
 
 «لاَ يَجِدُ أَحَدٌ حَلاَوَةَ اْلإِيمَانِ حَتَّى يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ ِللهِ...»

Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata. (HR. Bukhari).

Hadis dari Abu Dzar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Hibban, ia berkata:
 
«يَا رَسُولَ اللهِ، الرَجُلُ يُحِبُّ القَوْم لاَيَسْتَطِيْعُ أَنْ يَعْمَلَ بِأَعْمَالِهِم، قَالَ: أَنْتَ ياَ أَبَا ذَرٍ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ. قَالَ: قُلْتُ فَإِنِّي أُحِبُّ اللهَ وَرَسُوْلَهُ يُعِدُها مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ»

Wahai Rasulullah, bagaimana jika ada seseorang yang mencintai suatu kaum tapi tidak mampu beramal seperti mereka? Rasulullah SAW bersabda, “Engkau wahai Abu Dzar, akan bersama siapa sahaja yang engkau cintai.” Abu Dzar berkata; maka aku berkata, “Sungguh, aku mencintai Allah dan RasulNya.” Abu Dzar mengulanginya sebanyak satu atau dua kali.

Hadis Muadz bin Anas Al-Jahni bahawa Rasulullah SAW bersabda:
 
«مَنْ أَعْطَى ِللهِ وَمَنَعَ ِللهِ وَأَحَبَّ ِللهِ وَأَبْغَضَ ِللهِ وَأَنْكَحَ ِللهِ فَقَدْ اسْتَكْمَلَ إِيمَانَهُ»

Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya. (HR. Al-Hakim).










Oleh itu, jika kita mahukan seseorang yang soleh/solehah,kita mesti menjadi soleh/solehah terlebih dahulu.Jika kita mahukan perempuan/lelaki yang sempurna,kita mestilah menjadi perempuan/lelaki yang sempurna terlebih dahulu.

Maka renung-renungkanlah,anda tanya diri anda,dan saya tanya diri saya.
 maka jika kita mencintai Allah terlebih dahulu.Kita akan mendapat orang yang terbaik.
Alhamdulillah,moga dapat dipraktikkan bersama...
Untukku..jangan sesekali melupakan Allah...